53 Rumah Setinggan Terima Notis Amaran Berpindah Segera

KOTA KINABALU: Sebanyak 53 rumah setinggan di Bukit Nenas, Karamunsing, di sini, diberikan notis amaran supaya berpindah dengan segera, hari ini.

Arahan itu dikeluarkan selepas pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mendapat writ pemilikan dari pihak Mahkamah dan pemilik tanah.

Pengarah Penguatkuasa DBKK, Abdul Mukti Muchlish berkata, tindakan itu adalah untuk mengusir penduduk di kawasan setinggan yang dibina di atas 32 geran tanah milik persendirian.

Katanya, tindakan pengusiran serta perobohan rumah sudah dimulakan sejak beberapa tahun lalu dan kali terakhir dilaksanakan pada Oktober 2018 membabitkan dua geran tanah.

“DBKK berjaya merobohkan 49 buah rumah termasuk lapan didiami penduduk tempatan ketika itu.

“Untuk operasi kali ini kita sudah memulakan tindakan memberi notis amaran mahkamah pada September tahun lalu dan diikuti amaran terakhir pada 9 April lalu agar penduduk mengalihkan rumah setinggan dan berpindah dari kawasan ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, disebabkan masih ada 53 buah rumah penduduk yang belum dialihkan, pihaknya memberikan writ pemilikan kepada pemilik rumah yang masih ingkar untuk mengalihkan struktur rumah.

“Kita lihat sejak diberikan notis sebelum ini, sebahagian pemilik rumah sydah meninggalkan kawasan setinggan bagaimanapun sebahagian besar masih ingkar.

“Pihak Jabatan Air Negeri Sabah dan Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) serta Jabatan Imigresen turut serta dalam operasi ini untuk tindakan pemotongan bekalan air serta elektrik yang dicuri serta pemeriksaan dokumen terhadap penduduk.

“Penduduk juga diberi peluang dalam tempoh kira-kira sebulan sebelum operasi perobohan sepenuhnya akan dilaksanakan seminggu selepas Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu Mukti juga menasihatkan supaya pemilik tanah lebih peka dengan keadaan tanah masing-masing dan sentiasa memantau tanah dimiliki dari semasa ke semasa bagi mengelakkan diceroboh untuk dijadikan penempatan setinggan. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *