PKPD 4 Tempat Di Sabah Dilanjutkan 2 Minggu

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di empat lokasi di Sabah, dilanjutkan selama dua minggu lalu bermula Khamis dan Jumaat ini.

Ini membabitkan Kampung Ranggu Batu 10 dan Fasa 2 Taman Semarak, kedua-duanya di Mukim Balung, Tawau, Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung, Tawau, dan Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini melaksanakan 265 ujian saringan di Kampung Ranggu Batu 10, dan daripada jumlah itu, sebanyak 66 kes positif COVID-19 direkodkan di situ.

Beliau berkata, KKM mengesahkan terdapat 122 baki sampel saringan yang menunggu keputusan dan penularan jangkitan COVID-19 masih berlaku di lokaliti itu.

Katanya, di PKPD di Fasa 2 Taman Semarak, diteruskan selepas KKM mengesahkan terdapat 99 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk taman di kawasan PKPD itu.

Ismail berkata, KKM menjalankan 160 ujian saringan dan daripada jumlah itu, lapan kes positif COVID-19 direkodkan.

“KKM juga sudah melaksanakan 847 ujian saringan di Kampur Baru Pasir Putih dan daripada jumlah itu sebanyak 68 kes positif COVID-19 direkodkan, manakala 441 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk kampung di kawasan PKPD,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, jawatankuasa itu bersetuju melanjutkan PKPD ketiga-tiga lokaliti itu, bermula 15 April sehingga 28 April ini.

Bagi PKPD di Kampung Simpang 3A pula, Ismail berkata, sehingga kini, KKM sudah melaksanakan 745 ujian saringan dan daripada jumlah sebanyak 28 kes positif COVID-19 direkodkan.

“KKM mengesahkan terdapat 696 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk kampung di kawasan PKPD.

“Selepas membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Simpang 3A, bermula 16 sehingga 29 April ini,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *