4 Lagi Lokaliti Di Sabah Dikenakan PKPD Bermula Esok

Pelaksanaan PKPD itu bertujuan memudahkan Kementerian Kesihatan mengesan kontak rapat serta mengelak penularan Covid-19 dalam komuniti.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di empat lokaliti di Sabah mulai esok hingga 27 April ini.

Di Sabah, lokaliti itu ialah Flat Sim-sim di Mukim Berhala, Kampung Sungai Obar di Batu 7, Mukim Sentosa di Sandakan, Taman Villa Mas di Tawau dan Kampung Melangkap Tomis di Kota Belud.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kontak rapat serta mengelak penularan Covid-19 dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Lanjutan PKPD

Ismail berkata, PKPD di Tawau yang membabitkan Kampung Baru Pasir Putih di Mukim Sri Tanjung, Kampung Ranggu Batu 10 dan Fasa 2 Taman Semarak di Mukim Balung dilanjutkan mulai 15 hingga 28 April ini.

Katanya, lanjutan itu kerana masih ada keputusan ujian saringan yang belum diperolehi dan penularan berterusan dalam kalangan penduduk.

Beliau berkata, PKPD di Kampung Simpang 3A, Merotai Besar di Tawau, Sabah pula dilanjutkan mulai 16 hingga 29 April.

Ismail berkata, PKPD di Kampung Rimbayan, Keningau di Sabah serta sebuah kilang dan asrama pekerja di Lekir, Setiawan, Perak dan ditamatkan mengikut jadual Khamis ini.

Dalam perkembangan lain, katanya, 73 individu ditahan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan semalam, dengan 64 daripadanya dikompaun dan sembilan lagi direman.

Beliau berkata, antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (21), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (14), aktiviti pusat hiburan (13), tiada penjarakan fizikal (enam), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (empat) dan lain-lain (15).

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *