DBKK Roboh 48 Lagi Rumah Setinggan Di Manggatal

Penduduk hanya mampu melihat rumah mereka diroboh dalam operasi dijalankan DBKK di Kampung Momogun, Manggatal, Kota Kinabalu, semalam. – Gambar Mohd Adam Arinin / HMetro

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjalankan operasi merobohkan 48 rumah setinggan yang didapati dibina tanpa kebenaran tuan tanah di Bandar Putra, Manggatal, di sini, semalam.

Operasi dilakukan selepas DBKK mendapat perintah mahkamah untuk kebenaran merobohkan semua rumah dikenal pasti itu serta-merta.

Antara rumah setinggan yang dirobohkan.

Operasi berkenaan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pengarah Penguatkuasa DBKK, Abdul Mukti Muchlish berkata, notis mengosongkan semua rumah terbabit sudah dikeluarkan sejak beberapa bulan lalu.

Namun, katanya, ada segelintir penduduk tidak mengendahkan arahan berkenaan sehingga memaksa pihak berkuasa mendapatkan arahan mahkamah untuk tindakan itu.

“Kita menyasarkan 400 rumah yang dibina tanpa kebenaran akan dirobohkan di kawasan seluas lebih 40 hektar yang juga milik pemaju di kawasan itu.

“Rumah diambil tindakan ini membabitkan rumah didirikan tanpa kebenaran serta ada terbabit dalam aktiviti jual beli rumah sendiri,” katanya.

Abdul Mukti berkata, ada antara penghuni tertipu dan ada sebahagiannya yang tahu, tetapi mengambil kesempatan untuk tinggal secara percuma selama beberapa bulan atau tahun.

Antara rumah setinggan yang dirobohkan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penjualan lot atau rumah di kawasan seperti itu.

Katanya, tindakan pencerobohan tanah milik orang lain perlu dihentikan serta-merta kerana ia mengakibatkan kerugian atau boleh diambil tindakan undang-undang. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *