Hajiji Arah JANS Tubuh Pasukan Petugas Khas Tangani Isu Air

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diarahkan menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menangani masalah gangguan bekalan air di kawasan Sepanggar dan Menggatal dengan serta merta.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor turut mengarahkan pasukan petugas khas itu mencari jalan penyelesaian untuk jangka masa pendek dan panjang dengan kadar segera, susulan masalah air yang kritikal dihadapi penduduk di kawasan terbabit.

“Tumpuan sekarang adalah untuk mencari jalan segera atau jangka masa pendek untuk menyelesaikan isu air kritikal yang dihadapi penduduk di kawasan Sepanggar.

“Pasukan Petugas Khas ini akan melibatkan pengurusan bagi daerah Tuaran dan Kota Kinabalu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menegaskan isu itu mendapat perhatian sepenuhnya kerajaan negeri kerana beliau sendiri menerima aduan masalah bekalan air itu daripada penduduk di kawasan Sepanggar.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan jalan penyelesaian perlu disegerakan.

“Justeru, saya mengarahkan JANS menubuhkan segera pasukan petugas khas untuk menangani isu di kawasan yang menghadapi masalah air kritikal di Sepanggar,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *