344 Kilogram Sampah Di Pantai Goronggon

Pantai Goronggon yang dipenuhi sampah. – Gambar ihsan MASESA

PUTATAN: Sampah seberat 344 kilogram dikutip 13 sukarelawan bersama Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA) di Pantai Goronggon, di sini, semalam.

Presiden MASESA, Ainie Jamin berkata, aktiviti mengutip sampah yang dianjurkan pihaknya itu dilaksanakan selama sejam.

“Sukarelawan terdiri daripada penduduk tempatan yang mana mereka menyertai kami mengutip sampah dan hasilnya kami berjaya mengutip 344 kilogram sampah hanya dalam tempoh sejam. “MASESA memilih Pantai Goronggon kerana pantai ini sebenarnya mempunyai pemandangan yang cantik namun ia dipenuhi dengan sampah.

“Jadi MASESA menjadikan Pantai Goronggon sebagai lokasi utama untuk kami bersihkannya di samping mahu memberi kesedaran mengenai alam sekitar kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, pihaknya membuat poster jemputan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai aktiviti membersihkan pantai yang diadakan.

“Biasanya kami akan membuat poster yang terkandung maklumat mengenai program kemudian kami sebarkan melalui WhatsApp.

“Sesiapa yang berminat boleh terus datang menyertai program dan sambutan orang ramai amat menggalakkan,” katanya.

Ainie berkata, selain mengutip sampah, pihaknya juga melakukan program jangka panjang dan pendek menerusi aktiviti pembersihan serta mendidik penduduk kampung untuk menguruskan sampah.

“Daripada pemerhatian kami, adanya beberapa kampung terutamanya kampung di atas air yang mana kesedaran mereka terhadap kebersihan amat kurang sehingga di satu tahap, mereka bukan saja membuang sampah malah membuang perabot lama seperti sofa atau peti sejuk ke dalam laut,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost