Sabah Beri Amaran & Tindakan Tegas Jika Langgar SOP Majlis Sosial

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyarankan rakyat di negeri ini agar semua majlis sosial dianjurkan, dilaksana secara sederhana atau menangguhkannya bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata saranan itu diberikan setelah mengambil kira peningkatan kes positif COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Kerajaan negeri memberi peringatan kepada masyarakat atau individu yang mengadakan majlis sosial dan keramaian agar memberi kerjasama dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Majlis sosial juga tidak dibenarkan diadakan di daerah di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bagi masyarakat selain di daerah yang dikuatkuasakan PKP dan PKPD, kerajaan negeri menggalakkan pendaftaran majlis menerusi aplikasi Sabah Trace untuk memudahkan pemantauan SOP oleh pihak penguatkuasa.

“Pihak penguatkuasa akan mengambil tindakan tegas dengan mengenakan kompaun sehingga RM10,000 kepada sesiapa yang didapati melanggar SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam mencatatkan kes sebanyak tiga angka sejak dua hari lepas.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah sebanyak 131 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 55,670 kes dan tiada kes kematian direkodkan.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 70, menjadikan jumlah kumulatif 54,481 orang.

“Seramai 688 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 290 orang di hospital dan 398 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya.

Mengulas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Sabah, Masidi berkata, seramai 88,592 individu telah menerima suntikan vaksin setakat ini dengan 39,606 orang daripada mereka melengkapkan suntikan bagi kedua-dua dos. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *