Ramai Penjaja Mengeluh Bazar Ramadan Di Sabah Dibatalkan

TAWAU: Ramai penjaja di daerah ini mengeluh dan bakal terjejas pendapatan berikutan kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membenarkan aktiviti bazar Ramadan di seluruh Sabah.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun selepas mengambil kira situasi semasa penularan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan.

Penjaja makanan, Mappe Yunus,59, yang sudah berniaga sejak 10 tahun lalu sangat kecewa kerana aktiviti bazar Ramadan tidak dibenarkan tahun ini sedangkan pendapatan melalui bazar tersebut sangat lumayan.

“Saya yakin ramai penjaja akan merasai nasib yang sama, namun sebagai rakyat di negeri ini akur dengan tindakan kerajaan demi keselamatan semua pihak.

Mappe, Umi & Nursiah

“Bagaimanapun, kami berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada penjaja yang hanya berharap pendapatan daripada jualan harian,”katanya.

Mappe turut berharap semua penjaja di daerah ini akur dengan tindakan kerajaan kerana kita tidak mahu aktiviti bazar akan menjadi penyebab meletusnya kembali wabak di daerah ini.

“Masyarakat juga harus bekerjasama untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 supaya indeks jangkitan dapat diturunkan dengan cepat,”katanya.

Bagi Umi Sibun pula berkata, keputusan kerajaan itu membuatkan ramai penjaja risau, lebih-lebih lagi kami yang hanya mengharapkan pendapatan daripada hasil jualan sahaja.

“Saya seorang ibu tunggal yang hanya mengharapkan hasil jualan sahaja, sudah pasti keputusan itu menjadi hambatan terhadap kehidupan kami sekeluarga.

“Memang betul ada kaedah seperti jualan atas talian boleh dilakukan, tetapi sambutannya tidak sama dengan jualan di gerai,”katanya.

Umi berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membuka bazar Ramadan dengan SOP yang ketat dan mengehadkan jumlah gerai dibuka di setiap kawasan.

Sementara itu, bagi Nursiah Hassan pula berkata sekiranya kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan bazar di buka, kerajaan harus memikirkan kaedah untuk membantu golongan seperti mereka.

“Bagi kami yang memang mengharapkan hasil jualan sudah pasti akan terjejas sepenuhnya kerana terpaksa menutup gerai.

“Kami tahu keputusan kerajaan memang sangat bagus untuk menyelamat lebih ramai nyawa orang tetapi bagi kami sekiranya tiada pendapatan sudah pasti terpaksa ikat perut.

“Saya berharap akan ada bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan kepada golongan penjaja terutamanya untuk menampung kehidupan kami seharian,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *