Jawatankuasa Ditubuh Untuk Kaji Hal Kewangan Berkaitan Sabah & Sarawak – Ongkili

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Bersama bagi mengkaji peruntukan undang-undang berkenaan hal-hal kewangan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata jawatankuasa itu akan ditugaskan untuk meneliti pengiraan dan pembayaran geran tahunan dan geran lain seperti yang termaktub di bawah MA63 termasuk pembayaran sebelumnya.

Beliau berkata mengkaji semula geran khas termasuk bayaran balik 40 peratus hasil kepada Sabah seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan, juga akan menjadi tumpuan jawatankuasa itu.

“Jawatankuasa ini turut diamanahkan untuk mencari penyelesaian kepada pembayaran geran tahunan yang diminta oleh Sabah dan Sarawak sebagaimana yang ditetapkan di bawah Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).

“Saya telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai hal itu dan kami bersetuju dengan terma rujukan (TOR) (jawatankuasa itu) termasuk senarai ahli,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain daripada itu, beliau berkata jawatankuasa berkenaan juga ditugaskan untuk mewujudkan formula pembayaran seimbang, adil dan saksama yang sesuai dengan status dan sumber kewangan negara.

Ongkili berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu bagi pihak MKMA63 dan mengemukakan resolusi untuk keputusan kepada majlis.

Beliau berkata dalam jawatankuasa itu, Menteri Kewangan II Datuk Masidi Manjun akan mengetuai pasukan Sabah yang turut dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong, Peguam Besar Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah Rusdin Riman.

Pasukan Sarawak pula akan diketuai oleh Timbalan Ketua Menterinya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Peguam Besar Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid dan Setiausaha Kewangan Sarawak Datuk Amar Ahmad Tarmizi Sulaiman sebagai ahli.

Kementerian Kewangan diketuai oleh Tengku Zafrul, yang turut merangkumi beberapa pegawai atasan kementerian itu.

“Jawatankuasa itu juga dijangka mengadakan pertemuan segera selepas mesyuarat MKMA63 pada 13 April yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Ongkili. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *