JDT ‘Baham’ Sabah Di Likas

Foto Facebook JOHOR Southern Tigers

KOTA KINABALU: Misi Sabah FC untuk meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal apabila tewas 4-1 di Stadium Likas, sebentar tadi.

Ini bermakna JDT terus mengekalkan rekod sebagai pasukan belum pernah kalah dan semakin selesa di atas carta liga dengan kutipan tiga lagi mata.

JDT menggegarkan gawang Sabah seawal minit ketujuh dan kelapan hasil sepakan pantas Arif Aiman Mohd Hanafi dan Bergson Gustavo Silveira Da Silva.

Foto Facebook Sabah Football Club

Dua gol berturut-turut itu berlaku berikutan kecuaian pemain Sabah gagal membaca rentak pemain lawan yang terus melancarkan serangan sejurus permainan bermula.

Terkejut dengan situasi itu, pemain Sabah cuba bangkit mengatur serangan balas, namun JDT kelihatan lebih menguasai permainan sepanjang separuh pertama permainan.

Sabah hanya mendapat satu peluang untuk mendapatkan gol menerusi cubaan pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani di hadapan gawang JDT pada minit ke-43, namun gagal disudahkan dengan kemas.

Beralih di babak kedua perlawanan, Sabah mendapat semangat baharu selepas berjaya mencipta satu gol menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import, Levy Clement Madinda pada minit ke-57.

Bagaimanapun, Sabah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Maxsius Musa dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-59.

Usaha pemain Sabah untuk mencari gol penyamaan tidak kesampaian apabila JDT berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-67 menerusi rembatan Bergson yang juga gol kedua buatnya.

Leandro Velazquez kemudian melengkapkan kemenangan bergaya pelawat menerusi sepakan penalti pada minit ke-86.

Keputusan itu turut mengecewakan kira-kira 2,900 penyokong skuad Badak yang mengharapkan kehadiran pertama mereka ke stadium disudahi dengan kemenangan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *