Bayar Hak kewangan Tertunggak Sabah & Sarawak, Jeffrey Gesa Putrajaya

Jeffrey Kitingan mencadangkan jawatankuasa mengeluarkan kertas putih mengenai hak Perlembagaan Sabah dan Sarawak sebelum mesyuarat berikutnya.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan menyindir kerajaan persekutuan mengenai isu tunggakan pembayaran pelbagai geran kepada Sabah dan Sarawak, seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

Katanya, tanggungjawab kerajaan persekutuan terhadap kedua-dua negeri itu tidak hanya terbatas untuk menjaga hubungan diplomatik dan keselamatan, tetapi juga memastikan negeri Borneo itu berkemampuan dari segi kewangan untuk mengurus wilayah masing-masing.

Beliau berkata, beberapa klausa dalam Perlembagaan Persekutuan memperincikan kewajipan kewangan kerajaan persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak.

Beliau menekankan kewajipan kerajaan persekutuan untuk membayar geran khas 40% daripada hasil bersih yang diperolehi persekutuan dari Sabah.

Kerajaan persekutuan buat masa ini hanya membayar Sabah RM26.7 juta.

“Itu baru satu. Aturan kewangan lain yang dipersetujui dan diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dipinda di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk geran jalan raya, geran per kapita dan duti import serta eksport,” kata Kitingan dalam kenyataan.

“Jika kerajaan persekutuan memenuhi kewajipan kewangannya terhadap Sabah dan Sarawak, saya yakin negeri Borneo ini dapat menyelesaikan separuh masalah kewangan kami dan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosio-ekonomi MA63 di sini, hari ini.

Kitingan berkata, selain perkara yang berulang kali dinyatakan kerajaan Sarawak, negeri Borneo itu terlalu luas untuk dianggap sebuah lagi negeri dalam persekutuan.

“Oleh itu, saya mencadangkan jawatankuasa mengeluarkan kertas putih mengenai hak Perlembagaan Sabah dan Sarawak sebelum mesyuarat jawatankuasa berikutnya.

“Jawatankuasa itu harus memberi tumpuan menyelesaikan masalah utama ini, iaitu menuntut semula dan mengembalikan hak Perlembagaan kami, berbanding membicarakan berapa banyak menara telekomunikasi kami harus ada.”

Di peringkat negeri, Ahli Parlimen Keningau itu berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa MA63 untuk menyelaras dan menyenaraikan semua isu, termasuk pelanggaran MA63, cara menanganinya dan memperbaikinya.

Sementara itu, Kitingan berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah menyasarkan untuk meningkatkan ekonomi digital di negeri itu dan berminat bekerjasama dengan Sarawak kerana Sabah juga ingin menubuhkan Lembaga Ekonomi Digital sendiri.

“Pembangunan infrastruktur kami sangat mahal. Kami sepatutnya memberi tumpuan kepada masa depan dan ekonomi digital adalah masa depan itu.

“Saya tidak mahu melihat Sabah ketinggalan lagi dan hanya dapat sisa-sisa. Kami mesti memperoleh segala hak kewangan seperti yang dipersetujui dalam MA63 dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *