Angkat Semula Najib Jadi PM

Najib Tun Razak

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mustahil diangkat semula menjadi Perdana Menteri sebaik sahaja UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, bekas Perdana Menteri itu mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk menerajui kepemimpinan negara berdasarkan rekod beliau ketika memegang jawatan itu sebelum UMNO jatuh pada PRU-14 lalu.

Kata beliau, Najib mempunyai ilmu dan pengalaman dan telah melalui segala proses dalam mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Kita ketepikan soal kes beliau di mahkamah, kemampuan Najib itu ada, pokoknya untuk menyelamatkan Melayu. Beliau tidak meninggalkan perjuangan (ketika UMNO jatuh). Persepsi (negatif) orang kerana ada pihak yang melontarkan tidak baik dan ada orang ikut.

“Saya percaya Najib ada pengaruh 70 peratus (dalam UMNO), Najib sudah lalui semuanya, kalau kita nak kata orang lain (dipilih sebagai PM) saya tak nampak siapa lagi kerana dia ada sifat sebagai pemimpin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Belum selesai kemelut dalaman yang melanda UMNO, kini parti itu dipersoalkan rakan komponen BN, MIC, kerana membelakangi mereka dalam banyak keputusan selain menggesa parti Melayu itu menamakan siapa calon perdana menteri gabungan itu pada PRU-15 akan datang.

Salah satu masalah yang perlu diselesaikan jika BN ingin bertarung bersendirian pada pilihan raya umum akan datang adalah siapa yang akan menjadi calon perdana menteri, kata MIC.

Mengulas lanjut, Ahmad Zaini berkata, apa yang penting UMNO perlu kuat untuk menghadapi PRU-15, jangan ada sifat tikam belakang sesama pemimpin.

Katanya, semua pemimpin perlu mencari persetujuan sama demi mengembalikan semula tampuk pemerintahan kerajaan kepada UMNO dan BN.

Beliau menjelaskan, walaupun orang muda meminta mereka diberi peluang mengemudi parti, namun ilmu sahaja tidak memadai tanpa pengalaman.

“Kita perlu seimbang (antara ilmu dan pengalaman), Kalau nak cakap Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (calon pilihan PM), beliau pun lari juga waktu UMNO susah. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun ada banyak masalah juga.

“Walaupun Najib ada kes 1MDB, namun kes tersebut masih kabur. Jadi Najib ada kemampuan untuk jadi Perdana Menteri semula. Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh jadi PM dua kali, mengapa Najib tak boleh. Kita buang yang keruh ambil yang jernih,” katanya.  – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *