Hubungan Baik Bukan Bermakna Shafie Diperguna Mahathir – SU Warisan

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata, hubungan baik antara presiden parti itu Shafie Apdal dan Dr Mahathir Mohamad bukan bermakna Shafie dipergunakan oleh bekas perdana menteri itu.

Katanya, Shafie mendapat kepercayaan daripada Mahathir kerana pengalamannya yang telah berjuang lebih 30 tahun bersama Umno selain prestasi baiknya ketika menjadi menteri di beberapa kementerian.

Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata kredibiliti dan komitmen Shafie wajar mendapat kepercayaan. (Gambar Facebook)

“Kredibiliti dan komitmennya (Shafie) wajar mendapat kepercayaan daripada Mahathir lebih-lebih lagi apabila beliau enggan bekerjasama dengan kleptokrat atau kerajaan pintu belakang.

“Tetapi ini tidak bermakna Warisan dikawal oleh Mahathir, walaupun Warisan bersetuju dengan beliau dan Pakatan Harapan (PH) mengenai pelbagai isu di Malaysia seperti rasuah, kleptokrasi dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Warisan percaya Malaysia hanya boleh menjadi ‘Harimau Asia’ sekali lagi sekiranya mengguna pakai model ‘kewujudan bersama secara harmoni’ yang diketengahkan Warisan.

Sementara itu, Loretto berkata, Warisan mengulangi komitmen mereka untuk membina semula ekonomi Malaysia melalui agenda perpaduan dan percaya agenda itu dapat dilaksanakan menerusi penyertaan golongan muda.

“Saya berpendapat walaupun agenda perpaduan yang diketengahkan parti ini kelihatan agak sukar untuk dicapai bagi segelintir rakyat Malaysia, namun saya percaya ia boleh dicapai kerana rakyat negara ini sebenarnya tidak ada masalah untuk menerima konsep pluralisme.

“Mengurangkan ketegangan serta menyemai hubungan baik antara kaum yang berbeza serta toleransi agama lebih kukuh di Malaysia mungkin tugas sukar bagi sesetengah pihak. Tetapi sebagai parti dari Sabah, sebuah negeri yang terkenal dengan sikap toleransinya, saya yakin Warisan mampu melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia, terutama golongan muda sebenarnya dapat menerima perbezaan kaum dan agama di negara ini.

“Sebenarnya, majoriti rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina ataupun India tidak menyukai apa-apa benda yang keterlaluan, sikap berlagak atau munafik dan tidak akan teragak-agak untuk bergabung tenaga di media sosial untuk menyerang sesiapa sahaja yang menghina Malaysia,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *