150 Lagi PATI Indonesia Diusir Keluar Dari Sabah Hari Ini

TAWAU: Kerajaan negeri meneruskan program penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) Siri 2/2021 membabitkan warga Indonesia, hari ini.

Seramai 150 PATI warga Indonesia diusir keluar dari Sabah melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, semua PATI tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Tawau sejak 2020 dan mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, dengan kerjasama Konsulat Republik Indonesia Tawau.

Beliau berkata, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 dan proses pengasingan PATI bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan.

Ini bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 terhadap setiap PATI sebelum penghantaran pulang dilaksanakan seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kesemua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua hukuman telah mengikut proses perundangan negara untuk mereka diusir keluar dari negeri Sabah. Semua warganegara asing diingatkan agar memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mendapat kebenaran masuk sebelum berada di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan ini.

Muhamad Sade berkata, program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM negeri Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh Sabah.

Tambahnya, JIM negeri Sabah akan terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *