Undi18 Saman Kerajaan Minggu Depan

KUALA LUMPUR: NGO Undi18, penggerak utama di sebalik kejayaan pindaan untuk menurunkan usia pengundi dan pendaftaran automatik, akan memfailkan saman terhadap kerajaan minggu depan.

Dalam kenyataan, Undi18 berkata tindakan akan difailkan pada 2 April itu bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara automatik mendaftar semua yang berusia antara 18 hingga 21 tahun sebagai pengundi susulan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

NGO itu berkata, ia mahu kerajaan mematuhi janjinya untuk melaksanakan pindaan yang telah diwartakan itu.

“Undi18 percaya belia antara usia 18 hingga 20 tidak sepatutnya dinafikan hak perlembagaan mereka untuk mengundi. Kami percaya setiap undian adalah penting dalam sesebuah demokrasi.

“Sebarang penangguhan lanjut dalam pelaksanaan RUU Undi18 akan secara sistematik mendiskriminasi terhadap suara golongan muda.”

Dalam kenyataan semalam, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata persediaannya tergendala akibat pandemik Covid-19, seterusnya menangguhkan pelaksanaannya paling awal sehingga September 2022.

Menurutnya, SPR komited melaksanakan pendaftaran pengundi automatik dan Undi18 sesuai dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 2023 mengikut Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut rekod mereka, penangguhan itu akan menjejaskan kira-kira 1.2 juta rakyat berusia antara 18 hingga 20 tahun. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *