KUALA LUMPUR: Pasukan anti-pengganas polis mematahkan rancangan membunuh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng tahun lepas, kata Penolong Pengarah Unit Counter-Terrorism Cawangan Khas (E8), Azman Omar.
Bercakap di satu forum maya berkenaan radikalisme dan ekstremisme pagi tadi, Azman berkata individu yang ditangkap juga mengaku merancang untuk menyerang secara bersendirian bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa dan bekas peguam negara Tommy Thomas.
Menurut laporan The Malaysian Insight, individu itu merancang untuk menikam mereka.
“Kami dapat menghalang dia daripada melakukan jenayah itu pada Jan 2020, beberapa bulan sebelum negara bawah perintah kawalan pergerakan,” katanya di forum anjuran International Institute of Advanced Islamic Studies.
Kes itu antara tujuh tangkapan yang dibuat E8 pada 2020, kata Azman, berbanding lebih 10 serbuan dan tangkapan pada 2019, dan 109 serbuan dan tangkapan pada 2018.
Berhubung ancaman militan agama, Azman berkata situasi sekarang terkawal dengan golongan pensimpati kurang dorongan selepas kematian pemimpin IS, Abu Bakar Al-Baghdadi, dan militan warga Malaysia lain.
“Usaha yang pasti gagal bagi mereka,” katanya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost