Isu Korea Utara: Polis Sabah Sentiasa Siap Siaga

Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Polis Sabah sentiasa bersiap sedia memantau sebarang perkembangan susulan isu kenyataan Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kim Yu-Song, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, setakat ini, bagaimanapun tiada sebarang insiden atau gangguan dan polis tetap bersiap siaga sepanjang masa.

Katanya, PDRM juga sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain di negeri ini dalam usaha memastikan keadaan keselamatan masyarakat terjamin.

“Kerjasama ini termasuk perkongsian maklumat dari semasa ke semasa berkaitan keselamatan ataupun kemungkinan sebarang ancaman susulan perkembangan berkenaan.

“Bagaimanapun, setakat ini keadaan keselamatan berada di tahap terbaik dan kita meneruskan rutin serta tugasan harian bagi menjaga keselamatan di seluruh negeri,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Polis Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Dataran Kawad IPK, sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kenyataan terkini Korea Utara di negara ini.

Sebelum ini, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Pengarah Jabatan PDRM untuk memantau perkembangan semasa isu Korea Utara.

Katanya, PDRM perlu mengambil langkah berwaspada bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kejadian yang tidak diingini berlaku di negara ini.

“PDRM sentiasa mengambil pendekatan untuk berhati-hati kerana banyak insiden isu keselamatan yang dikaitkan dengan negara Korea Utara,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *