i-Sinar KWSP Lulus Keluar RM52.48 Bilion

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM52.48 bilion pengeluaran program i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diluluskan membabitkan 5.94 juta pemohon.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM32.74 bilion sudah dikreditkan.

“Mulai 8 Mac lalu, kelayakan permohonan kemudahan i-Sinar ditambah baik bagi membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup.

“Setakat 14 Mac lalu, pengeluaran sebanyak RM52.48 bilion sudah diluluskan yang membabitkan 5.94 juta pemohon,” katanya dalam pembentangan Laporan Laksana ke-46 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), semalam.

KWSP sebelum ini memansuhkan syarat permohonan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemansuhan syarat i-Sinar itu mulai 8 Mac lalu membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki.

Permohonan baharu akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh itu, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, bagi Skim i-Lestari di bawah KWSP setakat 12 Mac lalu pula, jumlah pengeluaran kumulatif adalah sebanyak RM19.45 bilion membabitkan 5.23 juta penerima, berbanding RM18.58 bilion membabitkan 5.18 juta penerima pada minggu sebelumnya.

“Perancangan persaraan adalah penting dan orang ramai disyorkan untuk menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) yang disediakan oleh KWSP secara percuma untuk tujuan ini,” katanya.

KWSP sebelum ini memansuhkan syarat permohonan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mulai 8 Mac lalu, ahli KWSP berusia kurang 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran wang dari Akaun 1 dan mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM150.

Permohonan baharu akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh itu, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

Di bawah syarat baharu ini, kriteria pengurangan pendapatan tidak lagi terpakai untuk permohonan i-Sinar.

Malah, tidak ada sebarang dokumen sokongan perlu dikemukakan dan permohonan akan diproses berdasarkan kelayakan.

Tarikh akhir permohonan i-Sinar adalah pada 30 Jun depan.

Ahli yang memohon pengeluaran i-Lestari juga layak mengemukakan permohonan i-Sinar. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *