Covid-19: Kota Belud Kembali Ke Zon Merah

KOTA KINABALU: Daerah Kota Belud kembali ke zon merah selepas merekodkan enam kes baharu COVID-19, menjadikan lima daerah berada dalam zon itu di Sabah, setakat semalam.

Empat lagi daerah dalam zon merah ialah Kota Kinabalu dengan 12 kes baharu, Tawau (enam), Keningau (lima) dan Nabawan sebanyak dua kes.

Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata bagaimanapun majoriti kawasan di Sabah kini berada dalam zon kuning iaitu 16 daerah.

Katanya, empat daerah iaitu Tongod, Semporna, Kuala Penyu dan Pitas kekal dalam zon hijau, manakala dua daerah dalam zon jingga iaitu Sandakan dan Kalabakan.

“Daerah Kudat berubah dari zon jingga ke zon kuning, manakala Kota Belud bertukar dari zon jingga ke zon merah.

“Sebanyak 16 daerah tidak mencatat sebarang kes baharu, manakala hanya satu dearah mencatat kes dua angka iaitu Kota Kinabalu.

“Sebanyak 10 daerah lagi mencatat satu angka dengan bilangan kes baharu COVID-19 antara satu hingga enam,” katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Daerah Kota Belud turun dari zon merah ke zon jingga pada awal bulan ini selepas merekodkan penurunan kes berturut-turut, sebelum meningkat semula semalam.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan sebanyak 45 kes baharu semalam menjadikan kumulatif kes COVID-19 setakat ini sebanyak 54,400, manakala seramai 24 pesakit dilaporkan sembuh.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata seramai 410 pesakit COVID-19 lagi masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah.

Mengenai perkembangan program vaksinasi COVID-19 di Sabah, beliau berkata hanya seorang individu menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer – BioNTech semalam, menjadikan kumulatif penerima dos pertama vaksin itu seramai 41,958 orang.

“Bagi suntikan dos kedua vaksin yang sama, seramai 155 orang menerima suntikan hari ini (semalam), menjadikan jumlah kumulatif penerima dos kedua seramai 1,235 orang,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *