Suspek Bunuh Rakan Kerana Bazir Air Dicekup

Ketika ditahan, suspek tidak bertindak agresif dan memegang sebilah senjata tajam sepanjang 76cm yang disyaki digunakan untuk menetak mangsa dalam kejadian kelmarin.

KINABATANGAN: Suspek dalam kes tetak rakan kerana membazir air berjaya ditangkap kira-kira 4 petang semalam di kawasan ladang sawit di Melangking, Sukau, Kinabatangan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Dzulbaharin Ismail berkata, ketika ditangkap, lelaki itu sedang bersembunyi di bawah timbunan pelepah sawit.

Sebelum itu, pihak polis menerima makluman suspek ada datang ke perumahan pekerja ladang untuk meminta makanan pada Ahad.

Berdasarkan maklumat itu, gerakan mengesan suspek giat dijalankan di kawasan seperti dilaporkan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Ketika ditemui, lelaki itu tidak berpakaian dan masih lagi memegang sebilah senjata tajam yang disyaki digunakan untuk menetak mangsa,” kata Dzulbaharin dalam kenyataan hari ini, seperti dilaporkan Harian Metro.

“Sebaik cuba ditangkap, suspek tidak bertindak agresif. Namun berjaya ditahan dan senjata sepanjang 76cm berjaya dirampas.”

Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga asing maut ditetak rakan serumahnya dalam kejadian di sebuah rumah pekerja di kawasan ladang di Sukau, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Lito Salibat yang berusia 30-an maut akibat kecederaan parah di bahagian perut selepas ditetak dengan parang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan adalah salah faham antara suspek dengan mangsa berkaitan tabiat penggunaan air di rumah mereka.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *