Kekang Kemasukan Anasir Tidak Diingini

Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Polis Sabah ada menerima maklumat berhubung cubaan kemasukan anasir tidak diingini ke kawasan perairan negara.

Pesuruhjayanya Datuk Hazani Ghazali berkata, maklumat berkenaan diperoleh hasil kerjasama rapat dengan pasukan keselamatan Filipina dan Indonesia.

Katanya, antara maklumat itu termasuk berkaitan pergerakan anasir di kawasan perairan Sabah termasuk Laut Sulu dan Laut Celebes, Indonesia.

“Bagaimanapun setakat ini, tahap keselamatan di perairan negeri khususnya di pantai timur berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Ini kerana kawasan perairan yang menjadi sempadan selatan Filipina, Indonesia dan negeri ini sentiasa menjadi keutamaan pihak berkuasa semua pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, ia terbukti dengan perkembangan sejak akhir-akhir ini yang mana banyak operasi dijalankan oleh pihak keselamatan Filipina untuk memantau sebarang gerakan kumpulan militan di negara berkenaan.

“Dalam laporan terbaru, pihak berkuasa Filipina berjaya menembak mati salah seorang suspek yang tersenarai antara individu dikehendaki ESSCOM, Apo Mike.

“Selain itu, semua empat mangsa tebusan yang diculik di perairan negeri ini juga berjaya diselamatkan,” katanya.

Sehubungan itu, Hazani berkata, masyarakat setempat disarankan supaya tidak khuatir untuk meneruskan aktiviti harian di perairan negara.

Katanya, polis dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan terus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan membuat rondaan sepenuhnya di kawasan perairan pantai timur Sabah khususnya kawasan ‘panas’ yang dikenalpasti.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *