Mangsa Culik Terakhir Abu Sayyaf Diselamatkan

Mangsa penculikan kumpulan Abu Sayyaf, Mohd Khairuldin, 15, berjaya diselamatkan.

KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan Filipina menyelamatkan seorang tahanan militan Abu Sayyaf berusia 15 tahun di Pulau Kalupag, Languyan, Tawi-Tawi pada 6.30 pagi hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Khairuldin adalah antara lima nelayan Indonesia yang diculik di perairan Tambisan Lahad Datu tahun lalu.

Dia adalah tahanan terakhir yang diselamatkan.

Penyelamatan Mohd Khairuldin dilakukan tiga hari selepas tiga lagi tebusan Arizal Kasta Miran, 30, Arsad Dahlan, 41, dan Andi Riswanto Hayano, 26, diselamatkan.

Ketiga-tiga mangsa culik itu diselamatkan di perairan Tawi-Tawi ketika bot yang digunakan oleh tawanan mereka terbalik di laut bergelora.

Mereka sedang dipindahkan oleh kumpulan itu dari Indanan, Sulu, ke tempat lain.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

“Mohd Khairuldin adalah mangsa terakhir diselamatkan dalam insiden kes culik di perairan Tambisan, Lahad Datu,” katanya.

Menurut laporan berita Filipina, Komander Komando Mindanao Barat Leftenan Jeneral Corleto Vinluan Jr mengatakan semua tebusan berada dalam keadaan selamat.

Dilaporkan bahawa pasukan keselamatan Filipina turut menembak mati sub-komandan Abu Sayyaf, Apo Mike yang bertanggungjawab dalam beberapa siri penculikan di perairan Sabah.

Apo Mike yang nama sebenarnya Majan Sahidjuan tersenarai di antara 21 individu yang dikehendaki oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Apo Mike mati ditembak semasa pertempuran dengan tentera laut Filipina di Tawi-Tawi, pada Sabtu.

Pada Januari 2020, kumpulan bersenjata menculik lima nelayan Indonesia yang bekerja di sebuah kapal nelayan Malaysia di perairan Tambisan.

Dilaporkan seorang tebusan yang dikenal pasti sebagai La Baa, 32, ditemui mati pada 28 September 2020 di Patikul, Sulu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *