‘Malaysia Akan Terima Akibat’ – Konsulat Korea Utara

Yu Song ketika memberikan kenyataan di hadapan bangunan kedutaan sebelum bergerak ke KLIA pagi Ahad.

KUALA LUMPUR: Konsulat Kedutaan Korea Utara berkata Malaysia akan menerima akibat daripada tindakan yang dilakukannya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan Malaysia yang mengekstradisi rakyat negara itu yang dikenali sebagai Mun Chol Myong ke Amerika Syarikat atas dakwaan melakukan pengubahan wang haram.

Dalam kenyataannya kepada media sebelum bergerak ke KLIA, Kim Yu Song berkata insiden tersebut telah menjejaskan kedaulatan negaranya.

“Kejadian ini adalah hasil nyata dari konspirasi anti-Korea Utara yang dibuat daripada dasar keji oleh Amerika Syarikat,” kata Yu Song sepertimana dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara selesai mengosongkan bangunan kedutaan itu di sini sekitar jam 10.55 pagi Ahad.

Kesemua pekerja kedutaan dan juga ahli keluarga mereka keluar dari pekarangan bangunan dengan menaiki sebuah bas, manakala Yu Song dilihat menaiki sebuah kenderaan berwarna putih.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan bas yang membawa kira-kira 30 pegawai, kakitangan dan ahli keluarga kedutaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 11.45 pagi tadi.

Mereka akan menaiki penerbangan Shanghai Airlines ke Pudong, Shanghai dijangka pada jam 4.10 petang ini.

Pada Jumaat, Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara.

Ia susulan keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan Malaysia mengekstradisi seorang warganegaranya ke Amerika Syarikat. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *