Siasat Secara Adil Kes Memburu Melibatkan Bekas Ahli Parlimen

Christina Liew

TAWAU: Jabatan Hidupan Liar perlu menjalankan siasatan secara adil terhadap laporan mengaitkan beberapa individu termasuk seorang bekas Ahli Parlimen yang ditangkap pihak berkuasa kerana memburu di kawasan larangan dalam Maliau Basin.

Mantan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, tindakan undang-undang harus dikenakan kepada semua individu terbabit kerana tiada seorang pun yang kebal dari segi perundangan.

“Semua rakyat negara ini adalah sama rata dalam undang-undang, tanpa kira anda itu seorang Ahli Parlimen, atau bekas Ahli Parlimen.

“Sebagai pemimpin politik atau sebaliknya, kita seharusnya menjadi contoh terbaik kepada rakyat untuk melindungi hidupan liar negeri ini.

“Demi keadilan, kita berharap tidak ada ‘cover up’ dalam kes Maliau Basin ini dan Jabatan Hidupan Liar Sabah akan menyiasat perkara ini berdasarkan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menzahirkan rasa bimbang mengenai laporan media terhadap perkara itu yang membabitkan lima ekor Rusa Sambar yang ditemukan bersama-sama para pemburu berkenaan.

Christina berkata, Rusa Sambar adalah haiwan dilindungi dibawah Jadual 3 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

Katanya, spesis haiwan berkenaan turut disenarai merah sebagai binatang terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN)  sejak 2008. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *