Pelajar Kolej Vokasional Keningau Bentang Projek Inovasi di Persidangan Penyelidikan

Sharon (kiri) dan Angellytta (kanan)

KENINGAU: Dua pelajar jurusan pembuatan kek dan pastri dari Kolej Vokasional Keningau, Elisa Sharon Gustine dan Angellytta Juhie Sibin, telah membentang projek tahun akhirnya mereka di sebuah persidangan antarabangsa iaitu International Conference on Agriculture, Animal Sciences and Food Technology (ICAFT) yang berlangsung dalam talian pada 2 hingga 3 Mac 2021.

Persidangan anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) menampilkan enam sesi selari dengan jumlah pembentangan yang hampir mencecah 70 dari kalangan pelajar dan pendidik yang kebanyakannya mewakili universiti masing-masing.

Pasukan pelajar KV Keningau ini telah menghasilkan tepung yang berasaskan biji buah tarap yang telah diterima untuk dibentangkan di persidangan ini.

Video pembentangan mereka boleh ditonton melalui pautan ini: https://youtu.be/39CKCFdj9FU.

Kedua-dua pelajar ini telah mengkaji kualiti tepung yang mereka hasilkan dengan melaksanakan eksperimen beberapa kali menggunakan tepung ini untuk membuat dua jenis biskut iaitu macaron dan shortbread.

Mereka akhirnya berpuas hati dengan kualiti tepung yang mereka hasilkan pada eksperimen yang ketiga apabila mendapat pandangan positif dari panel penilai berdasarkan tiga aspek utama: rasa, tekstur dan aroma.

Pengarah kolej tersebut, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, meluahkan rasa gembiranya dengan pencapaian dua pelajar ini yang menunjukkan kualiti pendidikan teknikal dan vokasional yang mampu membantu para pelajar di negara ini mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *