Kluster Baharu Di Tawau Berpunca Acara Makan Malam

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah semalam merekodkan satu lagi kluster baharu COVID-19 berpunca daripada acara makan malam yang diadakan di sebuah restoran di Tawau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster baharu itu sudah mencatatkan sebanyak 17 kes.

“Terdapat satu kluster baharu direkodkan pada hari ini (semalam) iaitu Kluster Taman Ria Enam di daerah Tawau yang mencatatkan empat kes baharu menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 sebanyak 17 kes.

“Kes indeks itu adalah wanita berusia 46 tahun yang tidak bergejala tetapi dikesan positif melalui saringan sebelum menjalani prosedur kimoterapi di salah sebuah pusat perubatan di Tawau.

“Hasil penelitian, kes indeks bersama ahli keluarganya telah mengadakan acara makan malam yang disertai 20 orang di salah sebuah restoran pada 5 Mac lepas. Saringan kontak rapat masih giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi turut memberitahu, jumlah kes COVID-19 semalam masih kekal mencatatkan sebanyak dua angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam adalah sebanyak 31 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,001 kes.

“Dua kes kematian telah direkodkan masing-masing membabitkan daerah Kinabatangan dan Sandakan.

“Selain itu, jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 81 menjadikan, jumlah kumulatif 53,146 orang.

“Seramai 378 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 160 orang di hospital, 217 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan seorang pesakit di Pusat Tahanan Sementara (PTS),” katanya.

Mengulas mengenai statistik vaksinasi di Sabah, Masidi memberitahu seramai 3,168 orang telah menerima suntikan vaksin harian dos pertama menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 35,537 orang. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *