Penjawat Awam Antara 38 Individu Dikompaun

KOTA KINABALU: Seramai 38 individu termasuk empat penjawat awam dikenakan kompaun dalam operasi Op Noda / Cantas yang dijalankan di sebuah kafe di Cyber Perdana Commercial Centre, di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi jam 1 pagi itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah melakukan pemeriksaan di premis berkenaan.

Pegawai Turus D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, sebaik serbuan dijalankan, polis melakukan pemeriksaan terhadap 36 pelanggan dan dua pekerja di kafe berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti hiburan awam dengan menggunakan lesen tamat tempoh.

“Semua pelanggan yang berada di premis berkenaan kemudiannya dikenakan kompaun.

“Manakala dua lelaki yang disyaki pembantu kedai dan DJ di premis berkenaan ditahan untuk tindakan dan siasatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, dua lelaki yang ditahan berusia 23 dan 24 tahun dan polis turut merampas pelbagai kelengkapan serta peralatan hiburan bersama resit jualan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *