4 Polis Antara 14 Ditahan Memburu Secara Haram

Datuk Hazani Ghazali

KALABAKAN: Empat pegawai dan anggota polis antara 14 lelaki ditahan dalam satu serbuan kerana terbabit aktiviti pemburuan haram di Kem Pembalakan Vivadaya, kawasan Hutan Simpan Sapulut yang juga Hutan Komersil Kelas II di sini, Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata serbuan dilaksanakan pasukan khas daripada Jabatan Perhutanan Sabah iaitu SFD Protect, disertai badan bukan kerajaan (NGO), Hidupan Liar Team Danum Maliau Imbak pada jam 12.44 tengah hari.

Katanya, beberapa laras senjata api, sejumlah daging rusa dan babi yang dipotong kepada beberapa bahagian dipercayai hasil pemburuan haram, serta lima kenderaan pacuan empat roda dirampas dalam serbuan itu.

“Kes disiasat Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dibantu Jabatan Perhutanan Sabah serta polis. Kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis atas permintaan JHL selepas diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung pembabitan polis dalam kegiatan pemburuan haram itu, Hazani berkata siasatan secara telus akan dijalankan pihaknya terhadap pegawai serta anggota yang terbabit.

“Buat masa ini polis masih menunggu laporan penuh siasatan JHL Sabah, justeru ditegaskan tiada sebarang campur tangan pihak polis,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai berhenti menyebarkan berita palsu termasuk spekulasi yang boleh mencemarkan nama baik polis kontinjen Sabah.

Katanya, tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah Jenayah) serta Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika menyebar berita tidak benar. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *