Kalimah ‘Allah’ Bukan Isu Di Sabah, Sarawak, Kata ADUN Beragama Islam

ADUN Muara Tuang dan ADUN Sugut berkata, kalimah ‘Allah’ sudah lama digunakan oleh komuniti bukan Islam di Sabah dan Sarawak. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Penggunaan kalimah ”Allah” bukan sebuah isu di Sabah dan Sarawak kerana ia sudah digunakan oleh komuniti bukan Islam sejak sekian lama, menurut dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam dari dua negeri Malaysia Timur itu.

ADUN Muara Tuang di Sarawak, Idris Buang, berkata penganut Kristian sudah pun menggunakan kalimah “Allah” dan Tuhan sejak zaman beliau menuntut di sekolah rendah mubaligh satu ketika dahulu.

”Saya beragama Islam jadi saya tidak sembahyang (dalam gereja) tetapi saya menghormati upacara ritual mereka di gereja,” kata beliau yang pernah mengikuti rakan sekolahnya masuk ke dalam gereja.

“Jadi, (orang Islam) tidak boleh memonopoli penggunaan kalimah ‘Allah’; (komuniti) lain juga boleh menggunakannya.”

Menurut Idris, populasi besar Kristian di Sarawak menggunakan perkataan ”Allah” bagi merujuk kepada Tuhan dalam kitab Bahasa Melayu dan Iban.

”Bagi mereka yang mahu membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kalimah ‘Allah’, ia terpulang kepada mereka, tetapi saya pasti ia bukan isu di Sarawak mahupun isu buat kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak),” kata beliau kepada FMT.

Sementara itu, ADUN Sugut di Sabah, James Ratib berkata, isu kalimah “Allah” hanya sensitif di Semenanjung, bukannya di negeri beliau, dan ia mungkin sengaja diperbesarkan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

”Ramai orang Islam di Sabah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan yang bukan Islam, (jadi) isu kalimah ‘Allah’ bukan masalah di sini. Ia mungkin diperbesarkan oleh sesetengah pihak kerana pilihan raya umum semakin hampir.

”Mungkin (isu itu) sensitif sedikit di Semenanjung, tetapi di Sabah, semangat perpaduan tanpa mengira kaum dan agama masih kuat,” kata beliau.

Beliau menyeru agar rakyat Sabah mengabaikan isu itu dan terus fokus kepada usaha menghapuskan wabak Covid-19 dan meningkatkan semula ekonomi negeri.

Pada 10 Mac, Mahkamah Tinggi memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Justeru, hakim Noor Bee Arifin membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland, seorang penganut agama Kristian dari Sarawak, untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agamanya.

Bagaimanapun pada Isnin, kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Tindakan kerajaan itu mendorong sekumpulan Ahli Parlimen dan ADUN dari Sabah dan Sarawak mengeluarkan kenyataan bersama semalam bagi menyeru agar kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi itu dan tidak membuat rayuan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *