COVID-19: Semporna Kini Zon Hijau, Tiada Kes Aktif

KOTA KINABALU: Semporna yang dahulunya mencatatkan kes positif yang agak tinggi sejak gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda Sabah pada penghujung September 2020, akhirnya bertukar kepada zon hijau, dimana tiada lagi kes positif aktif dilaporkan di daerah tersebut.

Perubahan itu menyebabkan dua daerah kini tidak mencatatkan kes aktif iaitu Semporna dan Tongod.

Hari ini, kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 31 kes berbanding 38 kes positif semalam, dengan dua kematian serta satu kluster baharu.

Sebanyak lapan daerah mencatatkan kes positif dengan dua daerah mencatatkan kes dua angka dan selebihnya sembilan daerah melaporkan kes satu angka.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua kematian dilaporkan hari ini adalah satu kematian di Kinabatangan dan satu di Sandakan.

Kluster baharu iaitu kluster Taman Ria Enam, Tawau melaporkan empat kes baharu, dengan kumulatif 17 kes. Kes indeks merupakan seorang wanita berusia 46 tahun yang tidak bergejala dan dikesan positif sebelum menjalani prosedur kemoterapi di sebuah pusat perubatan.

Kluster ini berpunca daripada majlis makan malam yang dihadiri 20 orang di salah sebuah restoran.

Beliau berkata, daripada 31 kes baharu hari ini, Tawau mencatatkan 11 kes positif, diikuti dengan Kota Kinabalu (10) dan dua kes di Keningau, Nabawan dan Penampang.

Sementara satu kes masing-masing dilaporkan di Kota Marudu, Putatan, Kudat dan Tuaran.

Menurutnya, daripada 31 kes positif itu, sebanyak 17 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala satu kes, saringan kluster sedia ada enam kes dan tujuh kes adalah dari lain-lain kategori.

Hari ini, seramai 81 orang pesakit telah sembuh, dengan bilangan kumulatif kes sembuh 53,146 kes. Manakala, kes kematian di Sabah meningkat kepada 384 kes.

Setakat ini, sebanyak 54,001 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 378 orang pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 160 orang di hospital, 217 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan seorang di Pusat Tahanan Sementara/Penjara.

Terdapat 20 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 4,432 katil dan peratus penggunaan adalah 8.53 peratus.

Untuk penerima vaksin pula, sehingga kini sejumlah 35,537 orang telah menerima vaksin fasa pertama bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *