PATI Akan Divaksin Setelah 70% Rakyat Sabah Terima Vaksin – Masidi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang untuk memberi vaksin kepada penduduk bukan warganegara atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) setelah liputan vaksinasi dalam kalangan warganegara mencapai 70 peratus.

Bagaimanapun, keutamaan pemberian vaksin tetap diberikan kepada warganegara.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, namun ia masih dalam perbincangan antara kerajaan negeri dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua agensi yang berkaitan.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menunggu sehingga 100 peratus rakyat Sabah menerima vaksin kerana berkemungkinan 30 peratus warganegara masih belum mendaftar untuk menerima vaksinasi.

Oleh itu, mengambil kira risiko jangkitan sentiasa ada, pemberian vaksin untuk PATI dirancang setelah 70 peratus rakyat tempatan divaksin.

“Pemberian vaksin kepada PATI ini bukan tentang isu mereka ini pelarian atau bukan sebaliknya, ia mengenai risiko jangkitan yang boleh dibawa oleh mereka untuk menjangkiti orang lain termasuk warga tempatan.

“Tiada siapa selamat sehingga semua selamat,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Mengenai warga asing yang mempunyai dokumen pekerjaan atau perjalanan (expats) yang tinggal di Sabah, mereka akan dijadualkan menerima vaksin mengikut kategori umur dan risiko komorbiditi.

Iaitu fasa 2 untuk warga emas, pesakit kronik serta orang kelainan upaya (OKU) dan fasa 2 untuk dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.

Tambahnya, dalam fasa 2 dan fasa 3, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyasarkan 30,000 orang diberi vaksin setiap hari. Program vaksinasi ini akan dilaksanakan setiap hari termasuk hujung minggu.

Mengenai penerima vaksin setakat ini, seramai 28,445 orang telah diberikan dos pertama vaksin Covid-19 iaitu meliputi 67.5 peratus daripada keseluruhan senarai anggota barisan hadapan di Sabah.

Berkenaan laporan berkaitan kesan sampingan yang diterima, Masidi berkata, sehingga kini, JKNS menerima 470 laporan kesan sampingan yang dilaporkan melalui aplikasi MySejahtera, melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Fasmasi Negara (NPRA) dan melalui Sistem Maklumat Farmasi (PhIS).

Bagaimanapun, kebanyakan mereka hanya mengalami kesan yang ringan dan tidak membahayakan.

Tambahnya setakat ini, seramai 241,492 orang telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera. Bilangan orang yang telah mendaftar secara manual belum diketahui.

Katanya, JKNS menggalakkan pendaftaran sebagai penerima vaksin secara atas talian melalui aplikasi MySejahtera. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *