PKPP: Sabah Benarkan Aktiviti Rekreasi Laut Dengan 50% Kapasiti

KOTA KINABALU, 14 Mac : Kerajaan Sabah membenarkan aktiviti rekreasi laut dan sungai seperti selam skuba, selam snorkel dan memancing mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk dengan kapasiti 50 peratus berkuat kuasa mulai esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ia merupakan pindaan SOP yang dibuat bersesuaian dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini.

“Muatan penumpang bagi bot laju terbuka dan tertutup yang membawa individu untuk aktiviti rekreasi laut dan sungai juga dibenarkan mengikut kapasiti tertakluk kepada penjarakan fizikal satu meter antara penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata, sebanyak 39 kes baharu positif dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di Sabah sebanyak 53,903 kes.

Seramai 158 pesakit COVID-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumuatif pesakit sembuh seramai 52,869 orang, katanya.

Mengulas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri, Masidi berkata, seramai 2,975 individu lagi telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25,439 penerima sejak program berkenaan dilancarkan pada 4 Mac. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *