Wanita Antara Tiga Pengedar Dadah Diberkas Anggota PGA

Antara suspek yang ditangkap dalam serbuan tersebut.

KALABAKAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya memberkas tiga individu termasuk seorang wanita disyaki pengedar dadah dalam dua tangkapan berasingan di sebuah ladang di sini, kira-kira jam 10.30 malam baru-baru ini.

Tangkapan dibuat oleh pasukannya yang menjalankan tugas rondaan Op Benteng COVID-19 serta bantuan daripada anggota dari Balai Polis Kalabakan dan anggota penguatkuasaan ladang tersebut.

Antara suspek yang ditangkap dalam serbuan tersebut.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Supt Mohd Yacob Murad berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga asing berumur 39 tahun yang dilihat berdiri di hadapan sebuah rumah kongsi dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, lelaki terbabit bertindak melarikan diri dan membuang satu plastik berwarna ungu ditangannya, namun lelaki terbabit berjaya ditangkap.

“Pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit merupakan warga asing dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yangs sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Syabu berjaya dirampas pasukan keselamatan baru-baru ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas plastik tersebut mendapati terdapat 16 tiub berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 3.1 gram dengan nilai anggaran kasar sebanyak RM310.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan maklumat diterima, pasukannya bertindak melakukan serbuan ke atas sebuah rumah kongsi tidak bernombor di Blok D ladang sama beberapa jam selepas tangkapan pertama.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat seorang lelaki dan wanita masing-masing berumur 18 dan 17 tahun di dalam rumah berkenaan.

Syabu berjaya dirampas pasukan keselamatan baru-baru ini.

“Pemeriksaan awal, kedua-dua suspek berkenaan merupakan warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan, pasukan keselamatan menemui satu sampul surat berwarna putih mengandungi 11 tiub disyaki dadah jenis syabu seberat 1.3 gram dianggarkan bernilai RM130.

“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *