4 Beradik Heret Keluar Datuk, Nenek Lumpuh Daripada Api

Sebanyak 73 rumah atas air terbakar malam tadi menyebabkan 200 penduduk hilang tempat tinggal.

KOTA KINABALU: Empat beradik nekad mengheret datuk dan nenek mereka yang lumpuh, untuk menyelamatkan warga emas itu daripada rentung dalam kebakaran yang memusnahkan 73 rumah di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, empat beradik berusia enam hingga 10 tahun itu terpaksa bertindak demikian dengan bantuan ibu sehingga berjaya membawa datuk dan nenek mereka menaiki bot untuk ke tempat selamat.

Ibu kepada empat beradik berkenaan, Julaipa Mohd Kalbi, 34, berkata keadaan menjadi kelam kabut apabila beberapa rumah jiran terbakar dan ketika itu dia cuba menarik bapa serta ibunya yang lumpuh keluar dari rumah, tetapi gagal berbuat demikian.

Susulan itu, katanya, dia segera memanggil empat anak untuk membantu dengan cara mengheret warga emas itu keluar rumah sebelum terjun ke dalam bot.

“Dalam keadaan panik itu, bapa ada menyuruh kami segera lari menyelamatkan diri dengan membawa ibu keluar rumah.

“Namun, kami tetap nekad untuk membawa keluar bapa sekali yang lumpuh akibat masalah kesihatan sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara di Sembulan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian malam tadi, 73 rumah atas air di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, dilaporkan musnah terbakar.

Kejadian itu turut menyebabkan lebih 200 penghuni hilang tempat tinggal berikutan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain.

Dua pusat pemindahan sementara dibuka untuk menempatkan 79 mangsa daripada 14 keluarga yang dipindahkan dengan 12 keluarga membabitkan 58 mangsa ditempatkan di Dewan Sembulan dan dua keluarga dengan 21 mangsa dipindahkan ke Dewan Serba guna Likas.

Julaipa berkata, mereka sekeluarga hanya mampu menyelamatkan diri tanpa berkesempatan membawa harta benda lain di rumah.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan kerana api marak dengan cepat.

“Walaupun tinggal sehelai sepinggang, kami tetap bersyukur kerana berjaya menyelamatkan semua ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, 40 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, BBP Lintas dan BBP Penampang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada jam 8.32 malam.

Katanya, apabila tiba di lokasi, api sedang marak dan operasi pemadaman dilakukan menggunakan sumber air terbuka berjaya menyelamatkan 757 rumah lagi di kawasan sekitar daripada terbakar.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.37 tengah malam dan semua penduduk selamat dalam kejadian itu,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *