Jangan Politikkan Penghakiman Isu ‘Allah’ – Jeffrey

Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata PAS dan Umno patut menghormati keputusan Mahkamah Tinggi itu. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Parti komponen Perikatan Nasional (PN), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menggesa orang ramai tidak lagi mempolitikkan isu ‘Allah’.

Presidennya Jeffrey Kitingan yang juga timbalan ketua menteri Sabah berkata walaupun beliau menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu yang membenarkan orang Kristian menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam pendidikan keagamaan mereka, fokus kini perlu diberikan terhadap menyembuhkan kemelut diakibatkan isu agama yang dipolitikkan berlebihan.

Tambahnya, ini termasuk menggunakan terma bahasa Arab dalam penerbitan bukan Muslim.

“Isu ini telah menjadi punca perselisihan faham sejak beberapa tahun dan saya lega kita akhirnya boleh melangkah ke depan.

“Saya berharap tiada parti yang mempolitikkan isu itu kerana isu ini bukannya perkara politik sebaliknya melibatkan undang-undang yang perlu diputuskan oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Kitingan turut menyuarakan rasa lega bahawa isu itu telah diselesaikan.

Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin ketika membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh seorang penganut Kristian dari Sarawak berkata, arahan kementerian dalam negeri bertarikh 5 Dis 1986 melarang penggunaan kata-kata tertentu oleh golongan bukan Muslim sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Beliau turut berkata, arahan itu melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Susulan keputusan semalam, menteri dalam negeri Hamzah Zainudin berkata kementeriannya akan membuat keputusan berhubung tindakan selanjutnya selepas menerima alasan penghakiman.

PPBM, Umno dan PAS menggesa Putrajaya merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu, namun dibantah organisasi Kristian selain pemimpin Sabah dan Sarawak.

Berhubung itu, Kitingan berkata terpulang kepada Putrajaya untuk membuat keputusan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *