Jenazah Khairul Anas Tiba Di Tanah Air Esok

Muhammad Khairul Anas

KOTA KINABALU: Hasil usaha 12 peniaga bundle sudah mengumpul RM76,430 untuk membawa pulang jenazah seorang penduduk Sabah di Korea Selatan, kembali ke Malaysia.

Idarmi Abd Kadil, 40, rakyat Sabah yang menetap di Korea berkata, dana terbabit adalah hasil dana jualan amal secara langsung di Facebook bersama-sama sumbangan orang ramai.

“Jumlah wang berjaya kami kumpulkan ini melebihi dari jumlah yang kami sasarkan sebelum ini iaitu sebanyak RM50,000 bagi menguruskan penghantaran jenazah arwah Muhammad Khairul Anas Abd Gapal ke tanah kelahirannya di Sabah, Malaysia.

“Salah seorang rakan kami juga memaklumkan jumlah dana terkumpul itu di Facebook di samping mengumumkan kami sudah menghentikan kutipan sumbangan kerana jumlah dikumpul sudah mencukupi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Idarmi berkata, semua kos pengurusan penghantaran jenazah arwah Muhammad Khairul Anas juga sudah diuruskan.

Ia termasuk membayar kos kenderaan membawa jenazah, kos menyimpan jenazah di bilik mayat hospital di selama enam hari, kos menyimpan jenazah di bilik mayat dimiliki ejen pengurusan mayat dan juga kos penerbangan.

“Selain itu, jenazah arwah juga sudah dimandikan, dikafankan dan solat jenazah untuk arwah juga telah disempurnakan di Masjid Itaewon, Seoul.

“Jenazah lelaki itu akan dibawa pulang dengan pesawat MH067 yang dijadual berlepas dari Incheon ke Kuala Lumpur, pada 11.05 pagi esok (waktu tempatan Korea).

“Kemudian dari Kuala Lumpur, jenazah dijadual akan dihantar ke Kota Kinabalu pada 10 Mac jam 6.10 pagi dan dijangka akan tiba ke Sabah pada jam 8.45 pagi menerusi pesawat MH6102,” katanya.

Dalam pada itu, Idarmi turut memaklumkan dia juga dihubungi Pengerusi Amanah Hawi Alkhairat (HAK) Sabah, Syed Husin Habib Omar di mana pihaknya akan menanggung sepenuhnya kos pengurusan jenazah dari Kota Kinabalu ke Tawau menerusi jalan darat di samping akan turut serta dalam pengurusan jenazah arwah Muhammad Khairul Anas di sana.

Terdahulu, media melaporkan kisah Idarmi dan 12 peniaga bundle di Korea yang bersatu hati mengumpul dana bagi pengurusan dan penghantaran jenazah Muhammad Khairul Anas kembali ke Tawau. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

10991