PKPD Kampung Tanah Merah, Kota Marudu Dilanjut Sehingga 22 Mac

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu dilanjutkan bermula esok sehingga 22 Mac ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 319 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 26 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Beliau berkata, masih terdapat 181 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan kes-kes positif masih dilaporkan di lokaliti ini.

Atas sebab itu, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kg Tanah Merah, Kota Marudu ini.

PKPD di lokaliti ini bermula pada 23 Feb lalu dan dijadualkan tamat pada hari ini (8 Mac).

Dalam pada itu, Masidi berkata, selarasn dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sabah, kehadiran penjawat awam ke pejabat perlu mencapai 90 peratus pada waktu bekerja.

Manakala 10 peratus dibenarkan bekerja dari rumah dengan kelulusan ketua organisasi.

Untuk itu, kerajaan negeri sekali lagi mengingatkan semua penjawat awam supaya mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan semasa dan SOP yang dikeluarkan oleh KKM atau pihak berkuasa. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

824