KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, parti itu akan mengambil tindakan susulan terhadap ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, yang baru-baru ini keluar parti itu untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tindakan susulan berdasarkan ikrar kesetiaan kepada parti yang dilafazkan Hassan pada September lalu, sebelum beliau menjadi calon Warisan di Sebatik.
“Kita akan serahkan kepada peguam untuk membuat tindakan susulan kerana ikrar itu dilafaz dan ditandangani oleh Hassan di hadapan semua peguam kami,” katanya pada sidang media.
Menurut Shafie, parti tidak memaksa Hassan melafazkan ikrar itu.
“Beliau juga melafazkannya dengan sukarela, semua calon Warisan juga berbuat demikian.”
Sementara itu, video Hassan melafazkan ikrar berkenaan disiarkan kepada media selepas Shafie mempengerusikan mesyuarat bersama semua ADUN dan Ahli Parlimen Warisan hari ini.
Dalam video itu, Hassan menandatangani surat melepaskan kedudukan ADUN yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri dan Speaker Dewan Undangan Negeri jika beliau melompat parti selepas menjadi wakil rakyat.
Video berkenaan dikatakan dirakam pada 10 Sept lalu sebelum Hassan menerima watikah pelantikan sebagai calon Warisan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost