Jangkitan Covid-19 Dijangka Tamat 6 Hingga 9 Bulan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Vaksinasi dijangka menjadi titik penamatan jangkitan Covid-19 dalam negara dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksinasi memberikan perlindungan dalaman manakala kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta tindakan kesihatan awam menyediakan perlindungan luaran.

“Peringkat awal kita menggunakan dua strategi iaitu perlindungan dalaman dan luaran.

“Jika dijangkiti, kita harap vaksin antibodi yang dijana akan memutuskan jangkitan dalam tubuh.

“Kaedahnya kita akan gunapakai dalam enam hingga sembilan bulan lagi sehingga mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam sesi libat urus media kali keempat menerusi sidang maya, hari ini.

Menurutnya, sekiranya negara berjaya mencapai 70 peratus imuniti kelompok iaitu 23.6 juta daripada 32 juta penduduk Malaysia mendapat vaksinasi, ia dijangka dapat memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara.

Dr Noor Hisham berkata, empat vaksin kini masih dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) termasuk satu dos suntikan vaksin Johnson & Johnson.

“Vaksin ini hanya sekali suntikan saja dan penting digunakan kepada kumpulan tertentu terutama di pedalaman,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1974