Covid-19: Tongod Daerah Pertama Betukar Zon Hijau Di Sabah

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat kepada 129 kes dengan satu kematian dan satu kluster baharu, hari ini.

Kluster baharu itu adalah kluster Merotai Besar, Kalabakan yang mencatatkan enam kes baharu dengan bilangan kumulatif 26 kes. Kes indeks membabitkan penolong penyelia kedai yang dikesan positif melalui saringan bergejala.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes kematian hari ini dilaporkan di Papar.

Katanya, peningkatan kes hari ini disebabkan kluster Sinsingon, Nabawan yang mencatatkan bilangan kumulatif sebanyak 29 kes positif. Kluster ini turut menular di Kota Kinabalu dengan tiga kes dan Keningau dengan dua kes.

Beliau berkata, daripada 129 kes baharu hari ini, Nabawan mencatatkan kes tertinggi dengan 29 kes, diikuti dengan Keningau (22), Kota Kinabalu (20), Kalabakan (12), Sandakan (9), Tawau (7), Kota Marudu (7), Lahad Datu (5), Kinabatangan (5), Kudat (3), Penampang (2), Papar (2) dan satu kes masing-masing di Pitas, Putatan, Beluran, Semporna, Kota Belud dan Tambunan.

Hari ini, Putatan berubah dari zon merah ke zon jingga dan Tongod bertukar dari zon kuning kepada zon hijau setelah tiada kes baharu dicatatkan.

Menurutnya, daripada 129 kes positif itu, sebanyak 61 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 11 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 46 kes dan 11 kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 132 kes dengan bilangan kumulatif 51,184 kes. Manakala, kematian di Sabah meningkat kepada 372 kes.

Setakat ini, sebanyak 52,595 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 800 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 283 orang di hospital dan 509 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta lapan orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 38 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 13 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,698 katil dan peratus penggunaan adalah 14.04 peratus.

Sepanjang tempoh 24 jam, sebanyak 40,491 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan di seluruh Sabah dan 11 buah kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 20 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2062