Berita Baik Bagi Pencarum KWSP, Dividen Dijangka Setinggi 5.3%

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen antara 5% hingga 5.3% bagi Simpanan Konvensional dan 4.8% hingga 5% bagi Simpanan Syariah untuk tahun 2020.

Jumlah itu lebih tinggi daripada pemberian dividen 4.25% oleh Amanah Saham Nasional.

Kadar dividen KWSP untuk 2020 dilihat memberangsangkan apabila diambil kira kegawatan ekonomi domestik dan global akibat pandemik Covid-19.

Untuk 2019, KWSP mengisytiharkan dividen 5.45% bagi Simpanan Konvensional dan 5% untuk Simpanan Syariah.

Sumber KWSP memberitahu FMT, pengumuman rasmi pemberian dividen 2020 akan diumumkan “pada bila-bila masa”.

Kadar dividen KWSP itu jauh lebih tinggi berbanding faedah ditawarkan bank untuk simpanan tetap, iaitu 1.8% hingga 2.2% bergantung kepada tempoh simpanan.

Menurut sumber, walaupun prestasi Bursa Malaysia terkesan akibat kegiatan ekonomi terjejas kerana wabak Covid, pelaburan KWSP di luar negara masih membawa pulangan baik tahun lalu.

“Pelaburan luar negara KWSP membawa pulangan lebih tinggi daripada yang dijangkakan,” kata sumber itu.

Tahun lalu, KWSP membayar dividen berjumlah RM41.68 billion untuk Simpanan Konvensional dan RM4.14 billion untuk Simpanan Syariah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *