Parlimen Boleh Bersidang Dalam Tempoh Darurat – Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berpandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh proklamasi darurat dilaksanakan, pada suatu tarikh difikirkan sesuai olehnya atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, keputusan Agong itu dibuat selepas menerima menghadap Speaker Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini.

“Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Agong kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari adalah semata-mata sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” katanya.

Pada masa sama, Agong turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi-agensi Kerajaan yang berkait, atas usaha merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini.

“Agong menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak Covid-19. Agong turut mengajak rakyat bersama-sama mendoakan semoga negara ini dilindungi dan bebas dari wabak ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *