Vaksin Covid-19 Tiba Di Sabah Khamis Ini

Persiapan penerimaan Vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos di Zon Bebas Komersil (FKZ) MasKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kumpulan pertama vaksin COVID-19 dijadualkan tiba di Sabah Khamis ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

“Kita mengalu-alukan ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Malaysia sebagai tanda yang amat penting dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

“Selain itu, kita juga berharap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini akan dapat dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan kejayaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Hajiji Noor

Hajiji berkata beliau sendiri akan menyambut ketibaan vaksin COVID-19 untuk negeri Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada tarikh dijadualkan.

Semalam media melaporkan kumpulan pertama vaksin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi, semalam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 pada Rabu ini, lebih awal daripada jadual asal pada 26 Februari ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1675