2 Kampung Di Sabah, Sarawak Kena PKPD

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di dua lokaliti di Sarawak dan Sabah selama 14 hari bermula tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD bermula 23 Feb hingga 8 Mac itu membabitkan Kampung Emperoh Jambu di Padawan, Sarawak dan Kampung Tanah Merah di Kota Marudu, Sabah, susulan berlaku peningkatan kes mendadak.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memaklumkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti juga tinggi.

“KKM melaporkan situasi Covid-19 di Kampung Emperoh Jambu sehingga kini sebanyak 60 kes positif dilaporkan.

“Sementara di Kampung Tanah Merah sebanyak 57 didapati positif Covid-19 hasil 226 ujian saringan yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PKPD di dua lokaliti itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar ke atas hampir 1,215 penduduk di Sarawak dan hampir 545 di Sabah.

Sementara itu, Ismail berkata seramai 509 individu ditahan semalam kerana melanggar SOP, yang mana 466 dikompaun, 39 direman manakala empat dijamin.

“Kesalahan cuba merentas daerah, negeri tanpa kebenaran mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 120.

“Antara kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (111), tiada penjarakan fizikal (95), antiviti perjudian (54), tidak memakai pelitup muka (49), aktiviti pusat hiburan (37), keluar rumah tanpa alasan munasabah (11), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (8) dan lain-lain (24),” katanya.

Pada masa sama pihak berkuasa melalui Operasi Benteng menahan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas lima kenderaan darat. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *