UMNO Kalabakan Terus Teguh Tunjangi Survival Parti

Andi Muhamad Suryady Hj Bandy

TAWAU : UMNO Sabah Bahagian Kalabakan kekal berdiri teguh menunjangi survival Parti ini sejak sekian lama dan bersikap lebih terbuka untuk membaiki segala kelemahan sebelum ini.

Ketuanya, Andi Muhamad Suryady Hj Bandy berkata kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu sudah diperbaiki serta menjadi pengajaran kepada seluruh pemimpin dan ahli UMNO.

“Keterbukaan menerima setiap kelemahan juga menjadikan UMNO terus bangkit menjadi sebuah parti yang dominan dan berjaya mengembalikan kegemilangannya pada PRN ke-16 lalu.

“UMNO Kalabakan kini dalam usaha mempromosikan keahlian parti terutamanya di kalangan golongan muda dan ianya akan menjadi satu gerak kerja yang berterusan,”katanya dalam kenyataan medianya, di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjug Batu berkata, rancangan merealisasikan lembaran baharu di kawasan DUN ini sedang rancak diusahakan.

“Menstruktur penempatan supaya lebih tersusun, serta pembukaan peluang-peluang perniagaan juga terus dipergiatkan supaya rakyat lebih mandiri dalam ekonomi,”katanya.

Menurutnya, menyedari terdapat berbagai kelemahan dalam pentadbiran lalu, selaku wakil rakyat pada hari ini akan sentiasa memberi peringatan agar setiap salah laku yang menyalahi undang-undang hendaklah dihentikan dengan serta merta.

“Hal ini termasuklah, tiada kompromi kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh kawasan tanah tertentu demi kepentingan peribadi dan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika didapati bersalah,”jelasnya.

Mengulas mengenai situasi politik semasa, beliau berkata tidak dinafikan kestabilan politik sangat penting bagi menjamin kelancaran perlaksanaan setiap agenda pembangunan.

“Bagaimanapun, dengan situasi semasa pandemik COVID-19 yang masih mengancam ketika ini, kesejahteraan rakyat haruslah menjadi keutamaan dan tidak boleh diperjudikan sama sekali,”katanya.

Dalam pada itu, sempena sambutan memperingati 30 tahun keberadaan UMNO di Sabah Suryady turut menyingkap sejarah parti tersebut di negeri ini.

Katanya, pada 21 Februari 1991, parti UMNO berjaya melebarkan sayapnya untuk bertapak di negeri Sabah demi kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan.

“Sepanjang tiga dekad itu, UMNO Sabah telah melalui pelbagai cabaran serta rintangan, namun semuanya dapat dilalui dengan matang dan berhikmah.

“Resam perjuangan, pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan UMNO Sabah telah membuktikan yang ianya masih relevan sehingga ke hari ini.

“Aspirasi rakyat didengar dan diangkat dari setiap lapisan agar dapat diterjemah untuk membangunkan negeri ini setanding dengan kemajuan negeri-negeri lain di Malaysia,”katanya.

Suryady yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkeyakinan bahawa UMNO Sabah akan kembali menjadi peneraju politik Sabah pada masa akan datang.

“Dengan cogan kata Bersatu, Bersetia, dan Berkhidmat, aspirasi merealisasikan Sabah Maju Jaya akan dapat dicapai dengan jayanya,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

488