Sarawak Larang Import Produk, Daging Babi Dari Sabah

Gambar Hiasan

KUCHING: Kerajaan Sarawak melarang pengimportan babi dan semua produk haiwan itu dari Sabah susulan laporan lapan daripada 13 babi yang diambil sampel di Pitas dijangkiti virus demam babi Afrika (ASF).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata larangan berkuat kuasa serta-merta itu dibuat di bawah Seksyen 8 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar Sarawak 1999.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli atau membawa sebarang produk dan daging babi dari Sabah atau mana-mana negara jiran.

“Sesiapa yang melanggar Perintah Larangan Import ini boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVSS) Sarawak juga akan mengetatkan biosekuriti di negeri ini, terutama di Bahagian Limbang serta meningkatkan pengawasan penyakit ASF di seluruh Sarawak.

Pada masa sama, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, DVSS turut

melakukan beberapa sesi kesedaran mengenai ASF dengan pihak berkepentingan seperti petani, pengimport dan Malaysia Airport Holdings Berhad.

Katanya, ia termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak.

“DVSS juga akan meningkatkan kempen kesedaran dan langkah pengawalseliaan untuk memastikan virus tidak masuk ke dalam negeri kerana Sarawak masih bebas daripada ASF,” katanya.

Uggah berkata, Sarawak mempunyai populasi sebanyak 30,000 babi betina yang menghasilkan 455,000 babi setiap tahun dengan nilai RM455 juta.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab DVSS untuk memastikan negeri ini terus bebas daripada penyakit haiwan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2726