UMNO Sabah Sokong Ahmad Zahid Terus Pimpin Parti

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus mengetuai parti itu.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sokongan itu sejajar dengan pendirian UMNO Sabah untuk menyokong pemimpin yang ada pada hari ini tanpa mengira siapa.

“Kita di Sabah sentiasa akur dengan keputusan pemimpin. Kita tetap menyokong pimpinan yang ada pada hari ini dan siapapun pemimpin UMNO kita akan sokong.

“Selaku pemimpin di peringkat negeri, kita harus melihat bahawa politik ini bersistem. Kalau di bawah tidak hormat pemimpin, maka orang lain tidak akan hormat pemimpin kita,” katanya pada sidang media selepas sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-30, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kehadiran Ahmad Zahid secara persidangan video pada majlis itu menggambarkan sokongan UMNO Sabah terhadap Ahli Parlimen

Bagan Datuk itu menjelang pemilihan parti akan datang.

Sementara itu, Bung Moktar menjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai hasrat UMNO Sabah bertanding sehingga 14 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah berdasarkan permintaan akar umbi parti itu.

Bagaimanapun, katanya keputusan akhir mengenai jumlah kerusi yang ditandingi parti itu tertakluk kepada hasil rundingan dengan parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ya semua kena bincang dulu cuma itu adalah cadangan akar umbi tetapi akhirnya nanti kita akan putuskan melalui perbincangan dalam GRS,” katanya.

Mengenai masa depan UMNO Sabah, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata parti itu akan terus bergerak ke hadapan sejajar perjuangan membela nasib rakyat dan membangunkan negeri.

Katanya, usaha itu akan dilaksanakan bersama parti lain dalam GRS yang bekerjasama membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

“GRS ada empat tahun lagi untuk memenuhi tuntutan rakyat dan kita yakin boleh melaksanakannya kerana GRS ada komitmen yang tinggi untuk memacu ekonomi Sabah,” katanya.

Bung Moktar juga menjelaskan bahawa UMNO Sabah tidak menghadapi masalah untuk meneruskan perjuangannya walaupun tidak lagi menjadi tunjang kerajaan negeri.

Apa yang penting katanya, parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan dan dapat sama-sama membantu rakyat serta membangunkan negeri. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

734