UMNO Sabah Tidak Akan Dapat 14 Kerusi Parlimen, 10 Mungkin – Kata Penganalisis

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak mungkin diberi 14 kerusi Parlimen yang mahu ditandinginya pada pilihan raya akan datang, kata penganalisis.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata, mustahil bagi satu parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi lebih daripada separuh daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu.

“Sepuluh (kerusi) lebih realistik kerana ada rakan lain dalam GRS,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin awal minggu ini berkata, parti itu berhasrat untuk bertanding di sekurang-kurangnya 14 kerusi pada PRU15.

Lee berkata, terdapat sembilan parti komponen dalam GRS dan mereka sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkuat gabungan itu dan memastikan kestabilan politik di negeri berkenaan.

Lee Kok Tiung.

Katanya, rundingan lebih lanjut dalam kalangan parti terbabit, dan antara Umno dan PPBM, akan menyaksikan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada setiap parti “dikurangkan”.

“Biasa bagi sesebuah parti memberitahu ia mahukan lebih banyak kerusi. Pada masa sama, saya rasa penyandang yang mahu bertanding semula akan diberi keutamaan” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Umno Sabah bertanding di 14 kerusi dan menang tujuh. Bagaimanapun, lima Ahli Parlimennya kemudian keluar parti untuk menyertai PPBM.

14 kerusi yang disasarkan oleh Umno Sabah ialah Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan.

Tony Paridi Bagang.

Sekiranya Umno berjaya mendapat kehendaknya, maka akan hanya berbaki 11 kerusi untuk sekutunya dalam GRS – PPBM, STAR, SAPP, PAS, PBS dan parti komponen Barisan Nasional, iaitu MCA, PBRS dan MIC.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, akan berlaku pertandingan antara Umno Sabah dengan rakan GRSnya, terutama daripada Perikatan Nasional, sekiranya parti itu berkeras untuk mendapatkan 14 kerusi.

Beliau juga berkata, pengumuman awal oleh Bung tentang kerusi berkenaan hanya bertujuan untuk “menguji reaksi”.

Namun katanya, sama ada parti itu akan memperoleh tuntutannya masih belum tentu kerana perbincangan dengan parti dalam GRS belum berjalan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *