Tiada Tindakan Ke Atas PATI Terima Vaksin Covid-19

Kerajaan menggalakkan penyertaan warga asing termasuk PATI, pelarian tampil secara bebas dalam Program Imunisasi COVID-19. – Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan tidak mengenakan sebarang tindakan undang-undang terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berlangsung.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana kerajaan sangat menggalakkan semua penduduk termasuk warga asing di negara ini mengambil vaksin Covid-19.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

“Bagi menggalakkan penyertaan warga asing dalam program imunisasi ini, kita turut menyentuh perkara mengenai Pati.

“Kerajaan bersetuju tidak mengenakan tindakan (undang-undang) terhadap warga asing tanpa dokumen sah supaya mereka berani tampil ke hadapan menerima suntikan vaksin.

“Kita mahu seramai mungkin mengambil vaksin termasuk golongan berkenaan. Justeru, sebahagian yang akan bersama Task Force CITF adalah badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media maya mengenai penyelarasan pasukan petugas khas imunisasi Covid-19, hari ini.

Menurutnya, kerjasama yang serupa diperlukan untuk mengesan pelarian di negara ini bagi diberikan vaksin Covid-19.

“Kerjasama turut dijalinkan dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan NGO untuk capaian terhadap komuniti ini sebagaimana menjejaki warga asing tanpa dokumen sah,” katanya.

Selain itu, katanya, golongan ekspatriat yang berada di negara ini juga diberikan vaksin Covid-19 secara percuma. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *