Pada Usia 95 Tahun, Saya Tidak Akan Pernah Berhenti Perjuangkan Nasib Melayu – Tun M

Menurut Tun Mahathir, sejak dari dulu beliau melihat sendiri nasib orang Melayu dan baginya, kuasa orang Melayu semakin merosot kerana mereka berpecah.

SHAH ALAM : Lebih 80 tahun memperjuangkan nasib orang Melayu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan pernah berhenti berbuat demikian.

Menurutnya, sejak dari dulu beliau melihat sendiri nasib orang Melayu dan baginya, kuasa orang Melayu semakin merosot kerana mereka berpecah.

“Kalau saya tarik diri dan tidak suarakan pendapat saya, saya berpendapat bahawa, ini pendapat saya, masa depan orang Melayu sangat gelap.

“Sebab itu, walaupun saya dah berumur 95 tahun sekarang, saya masih berminat untuk menjalankan tugas yang saya serahkan kepada diri saya sendiri, bukan siapa-siapa suruh pun,” katanya dalam siaran langsung bersama Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, dengan pengalaman terlibat dalam dunia politik lebih 80 tahun, beliau bersedia untuk berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang bertanya kepadanya.

“Saya ingat saya mempunyai banyak pengalaman yang boleh diguna oleh sesiapa sahaja. Sebab itu kalau orang datang jumpa saya dan minta saya buat sesuatu, jadi saya cuba buat sesuatu.

“Setakat ini, buat sesuatu bermakna saya boleh sumbang pendapat yang saya yakin orang lain tidak ada kerana tiada yang menjadi Perdana Menteri sekian lama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengulas berkenaan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan beliau mendakwa pendaftaran parti itu masih tertangguh kerana kerajaan tidak mahu ada parti ditubuhkan untuk menentang kerajaan.

Tegasnya, dari segi undang-undang, Pejuang seharusnya boleh didaftarkan kerana mereka sudah mengikut peraturan ditetapkan. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *